Friday, October 14, 2011

´Sayang, Abang minta izin untuk nikah seorang lagi´


"Aliyah yang sedang melipat kain,terdiam seketika. Mungkin terkedu. Adakah pendengarannya kian kabur lantaran usianya yang kian beranjak.
Adakah dialog tadi hanya dilafazkan di dalam TV, sementelah TV juga dipasang. Tapi, ahh bukanlah. TV sedang menayangkan iklan Sunsilk, mustahil sudah ada siri baru iklan Sunsilk? Dia menghela nafas panjang. Dia memandang sekali imbas wajah Asraf Mukmin, kemudian tersenyum.
Meletakkan kain yang telah siap dilipat di tepi, bangun lantas menuju ke dapur. Langkahnya diatur tenang. Segelas air sejuk diteguk perlahan. Kemudian dia ke bilik Balqis, Sumayyah, Fatimah. Rutin hariannya, mencium puteri-puterinya sebelum dia masuk tidur. Dahulu, semasa puterinya kecil lagi, rutin itu dilakukan dengan suaminya. Kini, anak-anak kian beranjak remaja. Kemudian, dia menjenguk bilik putera bujangnya yang berdua, si kembar, Solehin dan Farihin.

Pengabisannya dia kembali kepada suaminya. Asraf Mukmin hanya diam, membatu diri. Dia amat mengenali isterinya. Jodoh yang diatur keluarga hampir 16 tahun yang lepas menghadiahkan dia sebuah keluarga yang bahagia, Aliyah adalah ikon isteri solehah. Namun, kehadiran Qistina, gadis genit yang menjawat jawatan pembantu tadbir kesetiausahaan di jabatannya benar-benar membuatkan dia lemah.

´Kau mampu Asraf, dengan gaji kau. Aku rasa kau mampu untuk beri makan 2 keluarga,´ sokongan Hanif, teman sepejabat menguatkan lagi hujah apabila dia berdepan dengan Aliyah.

´Abang Asraf, Qis tak kisah. Qis sanggup bermadu jika itu yang ditakdirkan. Bimbinglah Qis, Qis perlukan seseorang yang mampu memimpin Qis,´ masih terngiang-ngiang bicara lunak Qis.

Akhir-akhir ini, panas rasanya punggung dia di rumah. Pagi-pagi, selesai solat subuh, cepat-cepat dia bersiap untuk ke pejabat. Tidak seperti kelaziman, dia akan bersarapan berjemaah bersama isteri dan anak-anak..
Aduhai, penangan Qis gadis kelahiran Bumi Kenyalang benar-benar menjerat hatinya.

´Abang , Aliyah setuju dengan permintaan abang. Tapi, Aliyah nak berjumpa dengan wanita tu,´ Lembut dan tenang sayup-sayup suara isterinya.

Dia tahu, Aliyah bukan seorang yang panas baran. Aliyah terlalu sempurna, baik tetapi ahh hatinya kini sedang mengilai wanita yang jauh lebih muda.

´Bawa dia ke sini, tinggalkan dia bersama Aliyah selama 1 hari saja, boleh?´ pelik benar permintaan isterinya.

Hendak dipengapakan apakah buah hatinya itu? Namun, tanpa sedar dia menganguk, tanda setuju. Sebab, dia yakin isterinya tidak akan melakukan perkara yang bukan-bukan.

Dan hakikatnya dia seharusnya bersyukur. Terlalu bersyukur. Kalaulah isterinya itu wanita lain, alamatnya perang dunia meletus lah jawabnya. Melayanglah periuk belanga. Ehhh, itu zaman dulu-dulu. Zaman sekarang ni, isteri-isteri lebih bijak. Teringat dia kisah seorang tentera yang disimbah dengan asid, gara-gara menyuarakan keinginan untuk menambah cawangan lagi satu. Kecacatan seumur hidup diterima sebagai hadiah sebuah perkahwinan yang tidak sempat dilangsungkan. Dan dia, hanya senyuman daripada Aliyah.

´Apa, nak suruh Qis jumpa dengan isteri abang,´ terjegil bulat mata Qis yang berwarna hijau.
´Kak Aliyah yang minta,´ masih lembut dia memujuk Qis.
´Biar betul, apa dia nak buat dengan Qis?´
´Takutlah Qis, silap haribulan dia bunuh Qis!´ terkejut Asraf Mukmin.
´Percayalah Qis, Aliyah bukan macam tu orangnya. abang dah lama hidup dengannya. abang faham,´

Qistina mengalih pandangannya. Mahu apakah bakal madunya berjumpa dengannya? Dia sering disogokkan dengan pelbagai cerita isteri pertama membuli isteri kedua. Heh, ini Qistina lah. Jangan haraplah jika nak membuli aku. Desis hati kecil Qistina.

Hari ini genap seminggu Qistina bercuti seminggu. Seminggu jugalah dia merindu. Puas dicuba untuk menghubungi Qistina, namun tidak berjaya.
Rakan serumah menyatakan mereka sendiri tidak mengetahui ke mana Qistina pergi. Genap seminggu juga peristiwa dia menghantar Qistina untuk ditemuduga oleh Aliyah. Sedangkan dia diminta oleh Aliyah bermunajat di Masjid Putra. Di masjid itu, hatinya benar-benar terusik. Sekian lamanya dia tidak menyibukkan dirinya dengan aktiviti keagamaan di masjid Putra.

Dulu, sebelum dia mengenali Qistina, saban malam dia akan bersama dengan Aliyah serta anak-anaknya, berjemaah dengan kariah masjid. Kemudian menghadiri majlis kuliah agama. Membaca AlQuran secara bertaranum itu adalah kesukaannya. Namun, lenggok Qistina melalaikannya. Haruman Qistina memudarkan bacaan taranumnya. Hatinya benar-benar sunyi. Sunyi dengan tasbih, tasmid yang sering dilagukan. Seharian di Masjid Putra, dia cuba mencari dirinya, Asraf Mukmin yang dulu. Asraf Mukmin anak Imam Kampung Seputih. Asraf Mukmin yang asyik dengan berzanji. Menitis air matanya.
Hatinya masih tertanya-tanya, apakah yang telah terjadi pada hari itu. Aliyah menunaikan tanggungjawabnya seperti biasa. Tiada kurangnya layanan Aliyah. Mulutnya seolah-olah terkunci untuk bertanya hal calon madu Aliyah.

breast breast... sms menjengah masuk ke kantung inbox hensetnya.

´Qis minta maaf. Qis bukan pilihan terbaik untuk abang jadikan isteri. Qis tidak sehebat kak Aliyah. Qis perlu jadikan diri Qis sehebatnya untuk bersama abang,´

Dibawah hensetnya, ada sekeping sampul besar.

Kepada:
Asraf Mukmin,
Suami yang tersayang...

Asraf Mukmin diburu kehairanan. Sampul berwarna cokelat yang hampir saiz dengan A4 itu dibuka perlahan.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani,
Salam sejahtera buat suami yang tercinta, moga redhaNya sentiasa mengiringi jejak langkahmu.

abang yang dikasihi,
Genap seminggu sesi temuduga yang Aliyah jalankan pada Qistina. Terima kasih kerana abang membawakan Aliyah seorang calon madu yang begitu cantik. Di sini Aliyah kemukakan penilaian Aliyah.

1. Dengan ukuran badan ala-ala model, dia memang mengalahkan Aliyah yang sudah tidak nampak bentuk badan. Baju-bajunya memang mengikut peredaran zaman. Tapi, Aliyah sayangkan abang. Aliyah tak sanggup abang diheret ke neraka kerana menanggung dosa. Sedangkan dosa abang sendiri pun, masih belum termampu untuk dijawab di akhirat sana , apatah lagi abang nak menggalas dosa org lain. Aliyah sayangkan abang...

2. Aliyah ada mengajak dia memasak. Memang pandai dia masak, apatah lagi western food. Tapi, Aliyah sayangkan abang. Aliyah tahu selera abang hanya pada lauk pauk kampung. Tapi tak tahulah pula Aliyah kalau-kalau selera abang sudah berubah. Tapi, Aliyah masih ingat lagi, masa kita sekeluarga singgah di sebuah restoran western food, abang muntahkan semua makanan western food tu. Lagi satu, anak-anak kita semuanya ikut selera ayah mereka. kasihan nanti, tak makan lah pula anak-anak kita. Aliyah sayangkan abang...

3. Aliyah ada mengajak dia solat berjemaah. Kelam kabut dibuatnya. Aliyah minta dia jadi Imam. Yelah, nanti dia akan menjadi ibu pada zuriat abang yang lahir, jadinya Aliyah harapkan dia mampu untuk mengajar anak-anak abang nanti untuk menjadi imam dan imamah yang beriman. Tapi, kalau dia sendiri pun kelam kabut memakai telekung... Aliyah sayangkan abang...

abang yang disayangi,
Cukuplah rasanya penilaian Aliyah. Kalau diungkap satu persatu, Aliyah tak terdaya. abang lebih memahaminya. Ini penilaian selama 1 hari, abang mungkin dapat membuat penilaian yang jauh lebih baik memandangkan abang mengenalinya lebih dari Aliyah mengenalinya.

abang yang dicintai,
Di dalam sampul ini ada boring keizinan berpoligami. Telah siap Aliyah tandatangan. Juga sekeping tiket penerbangan MAS ke Sarawak . Jika munajat abang di Masjid Putra
mengiayakan tindakan abang ini, ambillah borang ini, isi dan pergilah kepada Qistina. Oh ya, lupa nak cakap, Qistina telah berada di sawarak. Menunggu abang... Aliyah sayangkan
abang... Tetapi jika abang merasakan Qistina masih belum cukup hebat untuk dijadikan isteri abang, pergilah cari wanita yang setanding dengan Aliyah... Aliyah sayangkan abang.

Tetapi, jika abang merasakan Aliyah adalah isteri yang hebat untuk abang.. tolonglah bukakan pintu bilik ni. Aliyah bawakan sarapan kegemaran abang, roti canai.. air tangan Aliyah.

Salam sayang,
Aliyah Najihah binti Mohd Hazery

Tangannya pantas membuka pintu biliknya. Di situ berdiri Aliyah Najihah sambil tersenyum. (^_^)

Wednesday, October 5, 2011

Apa Makna Merdeka Andai Tidak Pernah Dijajah..
























Tanah Melayu: Merdeka Yang Sudah Tiada Makna.

Pada tanggal ‎11 Syawal 1432 Hijrah, bersamaan 9 September 2011 Masihi, tercatatlah satu sejarah bagi sebuah negara Malaysia. Peristiwa tersebut benar-benar menyentap emosi jutaan warganegaranya, apabila selama 54 tahun setiap anak warga ini diasuh dan didik bahawa tanah tercinta ini pada suatu ketika dahulu pernah dijajah oleh suatu bangsa berhidung mancung, berkulit cerah, rambut sedikit ikal, anak mata kebiruan, berbaju bertai, jalan berkasut, dan  makan bersudu yang datang ke mari untuk membantu mentamadunkan umat Melayu yang kononnya hidung penyek, kulit sawo matang, rambut serabai, mata terbeliak, berkain sarong, berkaki ayam, dan makan mencangkung persis monyet yang sedikit maju hanya kerana sudah pandai berbaju. Peristiwa yang dimaksudkan adalah berdasarkan suatu kenyataan secara terbuka oleh seorang sejarahwan yang bukan calangan, tersemat gelaran profesor dipangkal nama membuktikan ketinggian ilmunya, bergelar Datuk sebagai tanda banyak jasanya dan hebat pengaruhnya, malah tika ini menduduki kerusi sebuah majlis bernama Majlis Profesor Negara (MPN) yang penuh yakin berkata;
“Fakta sejarah menunjukkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah (oleh British). Ini mesti dibaiki dari sekarang oleh semua pihak sama ada pelajar, guru, ahli politik atau pentafsir politik. Dinaungi tidak sama dengan kolonial. Hanya tiga negeri sahaja yang merupakan tanah jajahan iaitu, Singapura, Melaka, dan Pulau Pinang. (Negeri-negeri) yang lain adalah dinaungi (atau) dilindungi. Sejak mula Tanah Melayu bukan tanah jajahan atau koloni. Ini fakta sejarah dan perspektif sejarah (itu) perlu diubah. Jangan kita sebut, kita terjajah selama 400 tahun. Itu adalah kesalahan yang amat besar.” Prof Datuk Dr Zainal Kling. [1]
Maka, gegak gempitalah seluruh warganegara setelah mendengar khabar berita ini, hampir menyamai kegemparan dunia dilanda tsunami di Acheh dan di negara Matahari Terbit sebelumnya. Gembira bercampur pilu, terharu bercampur keliru, tatkala kalimat ‘Tanah Melayu tidak pernah terjajah!’ Keadaan ini mencetuskan suatu efeksi yang sungguh luar biasa. Isu-isu panas lagi kontroversi berkaitan soal undi dan ekonomi yang sebelumya mendominasi, tiba-tiba bertukar sunyi terkubur mati. Isu liwat, meliwat, diliwat dan terliwat tiba-tiba hilang tidak sempat menyempat warga tahu siapa meliwat dan diliwat. Isu Mismah seorang ‘warganegara 48 jam’ yang baharu tiba-tiba disahkan sebagai si pengundi baru, para PATI kerja buruh binaan sehinggalah tukang pam minyak ‘diputihkan’ dengan diberi pengampunan sampai ada yang tersenarai dalam senarai boleh mengundi PRU, bekas-bekas perwira negara bergelar tentera bangkit mengakui dahulu dipaksa memangkah undi pos bagi mewakili sekalian banyak perwira negara bagi memenangkan calon parti berlambang ‘timbang kati’ garam, gula, dan tepung ubi. Sebuah rumah bertanggakan batu, berdindingkan papan, dan bertiangkan kayu tiba-tiba heboh lagi kecoh setelah didapati ‘berhantu’ berjumlah lapan sekali gus bukan satu.[2] Di sebalik ketakutan itu terselit suatu kisah lucu apabila para ‘hantu’ itu hidup rukun di bawah gagasan 1Malaysia, kerana ada ‘hantu’ yang berkulit putih kuning langsat ada juga ‘hantu’ berkulit hitam manis si tampuk manggis.
Bagi warganegara yang mempelajari sejarah sebagai suatu mata pelajaran ‘wajib lulus’ PMR dan SPM pastinya terkejut. Lebih-lebih lagi kepada warganegara yang bakal menduduki peperiksaan tersebut selang beberapa bulan sahaja lagi. Sudah sedia maklum, sejarah merupakan suatu subjek yang menekankan soal angka keramat disebut ‘tawarikh’ atau tarikh dan mementingkan fakta serta pembuktiannya berdasarkan huraian serta contoh. Jika bersandarkan pada kenyataan  Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosio-Budaya Majlis Professor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Zainal Kling seperti mana dinyatakan di atas, maka pastinya mendatangkan kekeliruan yang maha luar biasa hebat. Menambahkan lagi kekeliruan tersebut apabila buku-buku berkaitan soal Sejarah Malaysia di pasaran ketika ini ‘menongkah arus’ dengan kenyataan profesor berkenaan. Bagi warganegara yang mempelajari sejarah sebagai suatu disiplin ilmu pengetahuan tidaklah begitu terkejut, tetapi lebih kepada rasa teruja kerana peristiwa tersebut sedikit sebanyak membuka ruang dan peluang seluas-luasnya kepada seluruh warga untuk berdiskusi, bertukar pandangan dan maklumat, mencambahkan idea selaki gus merangsang otak supaya terus berfikir mencari kebenaran sejarah.
Penulis lebih berminat untuk merujuk sejarah daripada tokoh sejarahwan muslim, Ibnu Khaldun kerana ramai yang meyakini Ibnu Khaldun sebagai ‘Bapa’ dan pencetus filsafat sejarah kerana memandang sejarah bukan sekadar metode untuk menuliskan peristiwa zaman, tetapi juga menjelaskan tentang hubungan sosial dan faktor yang sangat berpengaruh pada fenomena-fenomena zaman. Bagi Ibnu Khaldun, sejarah baginya bukan hanya laporan dan keterangan tentang peristiwa semata-mata, tetapi juga mengajak untuk mencari faktor penyebab lahirnya sesuatu peristiwa. Ibnu Khaldun mengatakan bahawa;
“Sejarah secara lahirnya adalah catatan kisah tentang para pendahulu, pemerintahan-pemerintahan dan peristiwa di masa lalu. Tapi di balik itu sejarah sebenarnya ada pemikiran dan pencarian ilmu tentang faktor-faktor penyebab hakiki lahirnya peristiwa, kerana itu ia bersumber dari hikmah kebijaksanaan."
                Atas dasar melihat sejarah bukan hanya sekadar laporan dan keterangan tentang peristiwa semata-mata inilah, maka penulis berasa terpanggil untuk turut serta memberikan pandangan melibatkan isu yang hangat diperkatakan ini. Seringkali kita dengar dan baca, manusia belajar dari kesilapan. Kesilapan adalah sejarah, iaitu sejarah yang tidak boleh diubah, tetapi menjadi pendorong semangat, tauladan, sempadan dan juga sebagai panduan kepada kehidupan manusia itu. Samada ia mengambilnya dengan perasaan positif atau negatif, itu berdasarkan matlamat jelas untuk masa hadapannya. Ada orang yang mengelak kesilapan dengan belajar dari sejarah orang lain, namun atas dasar berhati-hati, ada sejarah yang telah dimanipulasi, seorang tokoh pejuang misalnya, dikatakan pengkhianat dan begitulah sebaliknya, seorang pengkhianat, dikatakan pula seorang pejuang. Keadaan inilah yang sedang melanda negara ini. Tidak kira berlatar belakangkan siapa, bermula daripada seorang profesor sejarahwan terkemuka, sehinggalah kepada seorang budak kampung yang baharu tamat pengajian di universiti sambil menunggu-nunggu kerja yang akan datang entahkan bila. Masing-masing sibuk mencari fakta-fakta dengan menyelongkar buku-buku di kotak-kotak yang sebelumnya tersusun rapi di atas almari, merajinkan jari-jemari menaip sesawang internet mencari bahan, maklumat dan bukti, sambil mengisi masa lapang daripada sibuk merempit sakan, berkepit gaban dan bercintun cintan.
            Kenyataan yang penuh kontroversi itu mengingatkan penulis kepada seorang sejarahwan barat, J.C. Bottoms yang pernah berkata tentang pola penulisan sejarah orang Melayu secara umum;
“History to the Malays has not until recently been either a science or an art but an entertainment. Accuracy, complete­ness, organised exposition are not the vital principles; what best pleased were legend, fantasy and a pleasant hotchpotch of court and port-gossip. This fairly describes for instance, the Sejarah Melayu.”[3]
Di­ sini seolah-olah J.C. Bottoms hendak menyamakan karya sejarah tradi­sional itu seakan-akan cerita penglipurlara atau karya sastera yang lain. Tetapi, setelah merujuk kepada kenyataan Prof Datuk Dr Zainal Kling ini seolah-olah membenarkan kenyataan J.C. Bottoms bahawa Sejarah Melayu adalah sebagai seni hiburan. Ya, seni hiburan, tetapi hiburan yang penuh kepalsuan dan kebodohan. Seperti sambutan Hari Kemerdekaan pada setiap tahun apabila menjelang tarikh keramat 31 Ogos. Bermula dari tahun 1957 sehingga kini 2011, maka sudah 54 kali negara menyambut ‘pesta hiburan’ sambutan kemerdekaan palsu ini. Bermakna juga sudah enam orang Perdana Menteri diperbodohkan hidup-hidup apabila setiap kali menjelang 31 Ogos, kerana mereka inilah yang mengetuai laungan merdeka..! merdeka..! merdeka! Di atas pentas di hadapan jutaan rakyat yang turun menjadi pak turut.
            Menurut Prof Datuk Zainal Kling, sejak Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874, tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa negeri akan dijajah, sebaliknya hanya dilindungi atau dinaungi. Ya, penulis bersetuju dengan fakta yang dikemukakan oleh profesor ini, bahawa dalam Perjanjian Pangkor pada tahun 1874 ini             sememangnya TIDAK tercatat walau satu perkataan ‘jajah’, menjajah’, ‘terjajah’, atau ‘dijajah’ kecuali istilah ‘Tanah Jajahan’ yang tidak termasuk sebagai konteks perbincangan. Berikut adalah teks perjanjian yang diambil daripada Perjanjian dan Dokumentasi Lama Malaysia, Kuala Lumpur: ITNMB (2008) ;

“Bahawasanya keadaan huru-hara sedang berlaku dalam Kerajaan Perak disebabkan oleh ketiadaan pemerintah yang tetap di Negeri itu dan tidak wujud kuasa yang berkesan untuk melindungi rakyat dan untuk menjamin hasil usaha mereka, dan
Bahawasanya sebilangan besar orang Cina yang diupah dan sejumlah besar wang yang dilaburkan dalam perusahaan bijih timah di Perak oleh rakyat British dan lain-lain yang bermastautin dalam Tanah Jajahan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen, dan lombong serta harta tersebut tidak dilindungi secukupnya, dan kegiatan lanun, pembunuhan, pembakaran sengaja berlaku dengan berleluasa di negeri tersebut, dan ini menyebabkan perdagangan dan kepentingan British terjejas teruk dan keamanan serta ketenteraman Petempatan British yang berjiranan dengannya kadang-kadang turut terancam, dan,
Bahawasanya sesetengah Pembesar semasa Kerajaan Perak telah menyatakan ketakmampuan mereka mengawal kacau-bilau yang melanda sekarang ini, dan bersama-sama dengan mereka yang berkepentingan dalam perusahaan negeri ini telah memohon bantuan, dan, Bahawasanya Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen terikat oleh Syarat Persetiaan bagi melindungi Kerajaan tersebut dan membantu pemerintahnya, maka dengan ini,
Tuan Yang Terutama SIR ANDREW CLARKE, K.C.M.G., C.B., Gabenor Tanah Jajahan Negeri-Negeri Se1at, sebagai mematuhi permintaan tersebut, dan dengan tujuan membantu pemerintah tersebut dan bagi mewujudkan penyelesaian yang berkekalan terhadap masalah di Perak, telah mencadangkan Perkara perkiraan yang berikut sebagai yang boleh mendatangkan manfaat bersama kepada Pemerintah Bebas Negeri Perak, rakyatnya, rakyat Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dan orang lain yang bermastautin atau yang berdagang di Negeri Perak, iaitu:-

I. Pertama. - Bahawa Raja Muda Abdullah diiktiraf sebagai Sultan Perak.

II. Kedua. - Bahawa Raja Bendahara Ismail, yang sekarang ini menjadi Pemangku Sultan, dibenar mengekalkan gelaran Sultan Muda dengan diberi pencen dan sebuah Wilayah kecil diserahkan hak kepadanya.

III. Ketiga. - Bahawa segala pelantikan Pegawai-pegawai besar lain yang dibuat pada masa Raja Bendahara Ismail menerima alat kebesaran diraja, hendaklah disahkan.

IV. Keempat. - Bahawa kuasa yang diberikan kepada Orang Kaya Menteri ke atas Larut oleh Al-Marhum Sultan hendaklah disahkan.

V. Kelima. - Bahawa semua hasil negeri hendaklah dikutip dan semua pelantikan hendaklah dibuat atas nama Sultan.

VI. Keenam. - Bahawa Sultan menerima dan menyediakan sebuah kediaman yang sesuai untuk seorang Pegawai British yang dinamakan Residen, yang akan ditauliahkan ke istana Baginda, dan nasihatnya mestilah dirninta dan diambil tindakan atas semua persoalan selain yang menyentuh agama Islam dan adat istiadat orang Melayu.

VII. Ketujuh. - Seorang Penolong Residen, iaitu seorang Pegawai British yang bertindak di bawah Residen Perak, dengan kuasa yang serupa dan tertakluk hanya kepada Residen tersebut hendaklah ditempatkan di istana Gabenor Larut.

VIII. Kelapan. - Bahawa pembiayaan untuk Residen-residen ini dan Perjawatan mereka hendaklah ditentukan oleh Kerajaan Negeri-negeri Selat dan menjadi tanggungan pertama daripada hasil Negeri Perak.

IX. Kesembilan. - Bahawa peruntukan diraja yang mengawal selia pendapatan yang akan diterima oleh Sultan, Bendahara, Menteri, dan Pegawai lain hendaklah menjadi tanggungan seterusnya daripada hasil tersebut.

X. Kesepuluh. - Bahawa pemungutan dan pengawalan segala hasil dan pentadbiran am negeri dikawal selia di bawah nasihat Residen-residen ini.

XI. Kesebelas. - Bahawa Persetiaan di mana Pulau Dinding dan pulau-pulau Pangkor telah diserahkan kepada Great Britain telah tersalah faham, dan dengan yang demikian, maka perlulah diselaraskan semula supaya dapat dikuatkuasakan tujuan sebenar para penggubal
Persetiaan itu, dan dengan ini maka diisytiharkan bahawa sempadan wilayah yang diserahkan itu hendaklah diperbetulkan seperti berikut:-
Dari Bukit Sigari, seperti yang tertera dalam Lembaran Carta No.1 Selat Melaka, yang salinannya dilampirkan, dengan bertanda A, merentas lurus hingga ke laut, kemudiannya di sepanjang pantai laut ke selatan, ke Pulau Katta di sebelah Barat, dan dari Pulau Katta merentang ke timur laut kira-kira sepanjang lima batu, dan kemudiannya ke utara, iaitu ke Bukit Sigari.

XII. Kedua belas. - Bahawa legih selatan Sungai Krian, iaitu bahagian kawasan yang salirannya masuk ke sungai itu dari selatan diisytiharkan sebagai Wilayah British, sebagai membetulkan Sempadan Selatan Province Wellesley (Seberang Prai). Sempadan itu hendaklah ditandakan oleh Pesuruhjaya, seorang yang dinamakan oleh Kerajaan Negeri-Negeri Selat, dan seorang lagi dinamakan oleh Sultan Perak.

XIII. Ketiga belas. - Bahawa apabila keadaan kacau-bilau sekarang ini sudah terhenti di Negeri Perak dan keamanan dan ketenteraman telah kembali pulih dalam kalangan puak-puak yang berbalah di Negeri itu, maka langkah-langkah segera di bawah kawalan dan seliaan seorang atau lebih daripada seorang Pegawai British hendaklah dilaksanakan bagi memulihkan sejauh mana yang boleh dilakukan kerja-kerja perlombongan dan pemilikan alat jentera, dll., seperti keadaan sebelum berlaku kacau-bilau, serta bagi menguruskan pembayaran pampasan kerana kerosakan, dan keputusan pegawai atau pegawai-pegawai itu dalam hal sedemikian adalah muktamad.

XIV. Keempat belas. - Menteri Larut berjanji mengaku sebagai hutangnya kepada Kerajaan Negeri-negeri Selat untuk segala caj dan perbelanjaan yang ditanggung atas penyiasatan ini, dan juga atas caj dan perbelanjaan yang ditanggung oleh Tanah Jajahan Negeri-negeri Selat dan Great Britain dalam usaha mereka bagi mewujudkan ketenteraan di Negeri Perak dan keselamatan perdagangan.
Perkara di atas telah dibaca dan telah dijelaskan kepada mereka yang berkenaan yang telah memahami perkara-perkara itu dan masing-masing bersetuju dan menerimanya sebagai mengikat diri mereka dan Waris serta Pengganti mereka.
Peijanjian ini dibuat dan diikat di Pulau Pangkor dalam Tanah Jajahan British, pada dua puluh hari bulan Januari tahun Masihi satu ribu lapan ratus tujuh puluh empat.

Disempumakan di hadapan saya,
ANDREW CLARKE,
Gabenor, Panglima Besar dan Laksamana Madya Negeri-Negeri Selat.

Cap Mohor Sultan Perak.
Cap Mohor Bendahara Perak.
Cap Mohor Temenggung Perak.
Cap Mohor Menteri Perak.
Cap Mohor Syahbandar Perak.
Cap Mohor Raja Mahkota Perak.
Cap Mohor Laksamana Perak.
Cap Mohor Dato' Sagor.” [4]


            Maka benarlah seperti dikata, bahawa sejak Perjanjian Pangkor yang ditandatangani pada tahun 1874, tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa negeri akan dijajah. sebaliknya hanya dilindungi atau dinaungi. Maka, penulis akan menyenaraikan beberapa perjanjian pasca-Perjanjian Pangkor 1874 yang tidak mencatatkan isitilah ‘dijajah’, ‘menjajah’, ‘terjajah’ dan seumpanya, antaranya;
Persetiaan Persekutuan, 1895.


“PERJANJIAN antara Gabenor Negeri-Negeri Selat, yang bertindak bagi pihak Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen, Maharani India dengan Raja-Raja Negeri Melayu yang berikut, iaitu: Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan.
1. Sebagai mengesahkan pelbagai Perjanjian terdahulu, maka Sultan Perak, Sultan Selangor, Sultan Pahang dan Pembesar-Pembesar Negeri-Negeri yang membentuk wilayah yang dikenali sebagai Negeri Sembilan, dengan ini secara berasingan meletakkan diri mereka dan Negeri mereka di bawah naungan Kerajaan British.

2. Raja-Raja dan Pembesar-Pembesar masing-masing bagi Negeri-negeri yang dinamakan di atas, dengan ini bersetuju membentuk negeri-negeri mereka dalam sebuah Persekutuan, dikenali sebagai Negeri-Negeri Melayu Naungan, yang ditadbir di bawah nasihat Kerajaan British.

3. Maka hendaklah difahami bahawa Perkiraan yang dengan ini dipersetujui tidak bermaksud bahawa mana-mana seorang Raja atau Pembesar akan menjalankan apa-apa kuasa atau wibawa berkaitan dengan mana-mana Negeri selain yang kini dimilikinya di Negeri yang dia diiktiraf sebagai Raja atau Pembesar.

4. Raja-Raja yang dinamakan di atas bersetuju untuk menerima seorang Pegawai British, bergelar Residen Jeneral, sebagai ejen dan wakil Kerajaan British di bawah Gabenor Negeri-Negeri Selat. Mereka mengaku janji menyediakan untuknya tempat penginapan yang sesuai, memberi gaji seperti mana yang ditentukan oleh Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen, dan mengikuti nasihatnya dalam semua perkara pentadbiran selain yang menyentuh agama Islam. Pelantikan Residen Jeneral tidak akan menjejaskan kewajipan Raja-Raja Melayu terhadap Residen British yang sedia ada atau yang dilantik selepas ini bagi menyandang jawatan di Negeri-negeri Naungan yang tersebut di atas.

5 . Raja-raja yang dinamakan di atas juga bersetuju memberi kepada Negeri-Negeri dalam Persekutuan yang memerlukan apa-apa bantuan berupa tenaga manusia, wang atau lain-lainnya sebagaimana yang dinasihati oleh Kerajaan British, melalui pegawainya yang dilantik dengan sewajarnya; dan mereka selanjutnya mengaku janji bahawa sekiranya tercetus perang antara Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan mana-mana kuasa yang lain, mereka, atas permintaan Gabenar, akan menghantar sepasukan askar India yang lengkap bersenjata untuk berkhidmat di Negeri-Negeri Selat.

Tiada apa-apa pun dalam Perjanjian ini yang bertujuan menyekat apa-apa kuasa atau wibawa yang kini dipegang aleh mana-mana Raja Negeri yang dinamakan di atas di Negeri masing-masing, dan ia juga tidak mengubah hubungan sedia ada antara mana-mana Negeri yang dinamakan dengan Empayar British.
Perjanjian di atas telah ditandatangani dan dimeterai aleh Raja-Raja dan Pembesar-Pembesar pelbagai Negeri yang tersebut di bawah pada bulan Julai 1895:
Duli Yang Maha Mulia Sultan Idris, Sultan Perak
Duli Yang Maha Mulia Sultan Abdul Samad, Sultan Selangar
Duli Yang Maha Mulia Sultan Ahmad, Sultan Pahang
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhammad ibni Tuanku Antah, Yam Tuan Besar Sri Menanti
Dato' Haji Ahmad, Dato' Bandar Sungai Ujong
Dato' Ata, Data' Undang Jahal
Dato' SyedAli bin Syed Zain, Dato' Undang Jelebu
Dato' Serun bin Sidin, Dato' Undang Rembau
Tengku Dewa Tampin.” [5]



Perjanjian Bangkok, 1909.

“Duli Yang Maha Mulia Baginda King United Kingdom Great Britain dan Ireland dan Dominion British di seberang laut, Maharaja India, dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Raja Siam berhasrat untuk menyelesaikan beberapa persoalan yang timbul yang menjejaskan kekuasaan masing-masing, telah membuat keputusan untuk mengikat suatu Perjanjian, dan bagi maksud ini, telah melantik Wakil Penuh Kerajaan masing-masing:

Duli Yang Maha Mulia Baginda King Great Britain melantik Ralph Paget, Esquire, Utusan Khas Baginda dan Menteri Wakil Penuh Kerajaan, dll.;
Duli Yang Maha Mulia Raja Siam melantik Duli Yang Teramat Mulia Putera Devawongse Varoprakar, Menteri Hal Ehwal Luar dll.; yang, setelah menyampaikan Kuasa Wakil masing-masing dan mendapati segala-galanya baik dan sewajarnya, telah bersetuju tentang Perkara-perkara berikut:-

Perkara I
Penyerahan Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, dan Pulau-pulau Bersebelahan kepada Great Britain

Kerajaan Siam menyerah kepada Kerajaan British segala hak dan apa-apa jua kekuasaan, naungan, pentadbiran dan kawalan yang dimilikinya ke atas Negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Pedis dan pulau-pulau bersebelahan. Sempadan wilayah-wilayah ini ditentukan melalui Protokol Sempadan yang dilampirkan bersama-sama ini.

Perkara II Tarikh Penyerahan
Penyerahan yang diperuntukkan dalam Perkara terdahulu ini hendaklah dilakukan dalam tempoh tiga puluh hari selepas ratifikasi Perjanjian ini.

Perkara III Persempadanan Sempadan Inggeris-Siam
Suatu Suruhanjaya Bercampur, terdiri daripada kakitangan dan pegawai Siam dan British, hendaklah dilantik dalam tempoh enam bulan selepas tarikh ratifikasi

Perjanjian ini, dan hendaklah dipertanggungjawabkan bagi persempadanan sempadan yang bam. Kerja Suruhanjaya itu hendaklah dimulakan secepat mungkin, sesuai dengan musim, dan hendaklah dijalankan menurut Protokol Sempadan yang dilampirkan bersama-sama ini.
Rakyat Duli Yang Maha Mulia Baginda Raja Siam yang tinggal dalam wilayah yang diperihalkan dalam Perkara I yang berhasrat mengekalkan kerakyatan Siam mereka akan, dalam tempoh enam bulan selepas ratiftkasi Perjanjian ini, dibenarkan berbuat demikian jika mereka berdomisil di wilayah kekuasaan Siam. Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Baginda King Great Britain mengaku janji bahawa mereka itu adalah bebas untuk mengekalkan harta tak alih mereka dalam wilayah yang diperihalkan dalam Perkara I.

Maka adalah difahami bahawa, menurut resam biasa di mana pertukaran kekuasaan berlaku, apa-apa Konsesi dalam wilayah yang diperihalkan dalam Perkara I Perjanjian ini kepada individu atau Syarikat, yang diberikan oleh atau dengan kebenaran Kerajaan Siam, dan diiktirafnya sebagai masih lagi berkuat kuasa pada tarikh penandatanganan Persetiaan ini akan diiktiraf oleh Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Baginda King Great Britain.

Perkara IV Hutang Awam Wilayah yang Diserahkan
Kerajaan Duli Yang Maha Mulia Baginda King Great Britain mengaku janji bahawa Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu akan membayar segala hutang yang ada kepada Kerajaan Siam bagi wilayah-wilayah yang diperihalkan dalam Perkara I.

Perkara V Penghapusan Bidang Kuasa Konsul di Siam
Bidang kuasa Mahkamah Antarabangsa Siam yang ditubuhkan di bawah Perkara VIII Perjanjian bertarikh 3 hari bulan September 1883, hendaklah, di bawah syarat yang ditentukan dalam Protokol Bidang Kuasa yang dilampirkan bersama-sama ini,4 diperluaskan supaya meliputi semua rakyat British di Negeri Siam yang berdaftar di Pejabat Konsul British sebelum tarikh Perjanjian ini.

Sistem ini hendaklah ditamatkan, dan bidang kuasa Mahkamah Antarabangsa itu hendaklah dipindahkan kepada Mahkamah Siam yang biasa selepas perisytiharan dan permulaan kuat kuasa kanun Siam, iaitu Kanun Jenayah, Kanun Sivil dan Perdagangan, Kanun Tatacara dan Undang-undang bagi penubuhan Mahkamah.

Semua rakyat British lain yang ada di Negeri Siam hendaklah tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Siam yang biasa di bawah syarat-syarat yang ditentukan dalam Protokol Bidang Kuasa.

Perkara VI Hak terhadap Harta, Kediaman dan Perjalanan, Cukai, dU.
Layanan Negara - Pengecualian daripada Perkhidmatan Tentera, Pinjaman Paksa, dll.
Rakyat British di seluruh Negeri Siam boleh menikmati hak dan keistimewaan yang dinikmati oleh anak watan negeri itu, terutamanya hak terhadap harta, hak kediaman dan perjalanan.

Mereka dan harta mereka hendaklah tertakluk kepada segala cukai dan perkhidmatan, tetapi ini semua tidak boleh berbeza atau lebih tinggi daripada cukai dan perkhidmatan yang boleh dikenakan oleh undang-undang terhadap rakyat Siam. Maka adalah difahami secara khusus bahawa batasan dalam Perjanjian bertarikh 20 hari bulan September 1900, di mana pencukaian tanah tidak boleh melebihi tanah yang serupa di Hilir Burma, kini dibatalkan.

Rakyat British di Siam hendaklah dikecualikan daripada segala perkhidmatan tentera, sama ada dalam angkatan darat atau laut, dan daripada segala pinjaman paksa atau tuntutan atau sumbangan ketenteraan.

Perkara VII Pengesahan Perjanjian Lama
Peruntukan segala Perjanjian, Persetujuan, dan Konvensyen antara Great Britain dengan Siam, yang tidak diubah suai oleh Perjanjian ini, hendaklah kekal berkuat kuasa sepenuhnya.

Perkara VIII Ratifikasi
Perjanjian ini hendaklah diratiftkasikan dalam tempoh empat bulan dari tarikhnya. Pada menyaksikannya, maka Wakil Penuh Kerajaan masing-masing te1ah menandatangani Perjanjian ini dan mengecap padanya meterai masing-masing.


Dibuat di Bangkok, dalam dua salinan, pada 10 hari bulan Mac 1909.

RALPH PAGET.
DEVAWONGSE V AROPRAKAR.” [6]


Pasca-Perjanjian Pangkor 1874, sebenarnya terdapat beberapa buah persetiaan atau perjanjian yang ditandatangani antara pemerintah tempatan dengan pihak British. Selain daripada Persetiaan Persekutuan 1895 dan Perjanjian Bangkok 1909 seperti mana dinyatakan di atas, terdapat beberapa perjanjian lain antaranya; Perjanjian antara Dato Syahbandar Serun Bin Sidin (Undang Rembau) dan Sir Frederick Weld (Gabenor Negeri-Negeri Selat) 1883, Perjanjian antara Sultan Ahmad (sultan Pahang) dengan Sir Frederick Weld (Gabenor Negeri-Negeri Selat) 1887, Perjanjian antara Mat Salleh dengan William Clarke Cowie 1898, Penjanjian British-Siam 1902, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan sebagainya. Walau bagaimanapun, penulis lebih tertarik dengan sebuah perjanjian yang sangat penting, sekali gus mencetuskan suatu persoalan, sejauhmanakah kebenaran kenyataan Profesor Datuk Dr Zainal Kling, berdasarkan fakta sejarah, bahawa Tanah Melayu ‘tidak pernah terjajah’, sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British? Perjanjian yang penulis maksudkan adalah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957. Bagi memudahkan para pembaca, penulis menyenaraikan keseluruhan teks perjanjian tersebut untuk sama-sama diteliti dan difahami;
“SURAT PERJANJIAN bertarikh pada 5 haribulan Ogos, tahun 1957 dan diperbuat di antara SIR DONALD CHARLES MACGILLIVRAY, G.C.M.G., M.B.E., bagi pehak Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan:

Yang Teramat Mulia Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, D.K., S.P.M.J., S.P.M.K., K.B.E., C.M.G., Tunku Pemangku Raja Johor bagi pehak Yang Maha Mulia IBRAHIM ibni Almarhum Sultan ABU BAKAR, D.K., S.P.M.J., G.C.M.G., K.B.E. (Mil.), G.B.E., G.C.O.C., Sultan bagi Negeri JOHOR dan Jajahan Takluknya,

Yang Maha Mulia ABU BAKAR RI'AYATUDDIN ALMUADZAM SHAH ibni Almarhum ALMU'TASIM BI'LLAH SULTAN ABDULLAH, G.C.M.G., Sultan bagi Negeri PAHANG,

Yang Maha Mulia Tuanku ABDUL RAHMAN ibni Almarhum TUANKU MUHAMMAD, G.C.M.G., Yang Dipertuan Besar NEGERI SEMBILAN, Dato' Klana Petra MOHAMED KASSIM bin Dato' Nika Haji Abdul Rashid, Undang bagi Luak SUNGAI UIONG, Dato' Mendika Menteri Akhirzaman SHAHMARUDDIN bin Abdul Rahman, Undang bagi Luak JELEBU, Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan ABDUL MANAP bin Tolok, Undang bagi Luak JOHOL, Dato' Lela Maharaja HAJI IPAP bin Abdullah, Undang bagi Luak REMBAU, dan Tengku SYED IDRUS bin Tengku Syed Mohammad, Tengku Besar TAMPIN, Undang dan Orang Besar bagi Jajahan-Jajahan yang jadi Negeri yang dinamakan NEGERI SEMBILAN,

Yang Maha Mulia HISAMUDDIN 'ALAM SHAH ibni al-Marhum Sultan ALAIDDIN SULAIMAN SHAH, K.C.M.G., Sultan bagi Negeri SELANGOR,

Yang Maha Mulia TUNKU BADLISHAH ibni Almarhum Sultan ABDUL HAMID HALIM SHAH, K.C.M.G., K.B.E., Sultan bagi Negeri KEDAH,

Yang Maha Mulia SYED PUTRA ibni Almarhum SYED HASSAN JAMALULLAIL, K.C.M.G., Raja bagi Negeri PERLIS,

Yang Maha Mulia TENGKU IBRAHIM ibni al-Marhum Sultan MOHAMED IV, D.K., S.P.M.K., S.J.M.K., D.K. (Johor), K.C.M.G., Sultan bagi Negeri KELANTAN,

Yang Maha Mulia Sultan ISMAIL NASIRUDDIN SHAH ibni Almarhum Sultan ZAINAL 'ABIDIN, K.C.M.G., Sultan bagi Negeri TERENGGANU dan

Yang Maha Mulia Paduka Sri Sultan YussUF 'IZZUDDIN SHAH ibni Almarhum Sultan ABDUL JALIL RADZIALLAH HU-'AN-HU, K.C.M.G., O.B.E., Sultan bagi Negeri PERAK bagi pehak Diri Mereka Itu Sendiri dan Waris-Waris Ganti Mereka itu;

BAHAWA SANYA dengan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, 1948, maka telah diadakan syarat bagi menubuhkan sebuah negeri Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi di dalamnya Negeri-Negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Pedis, Kelantan, Terengganu dan Perak, dan Negeri Melaka serta Pulau Pinang:

DAN BAHAWA SANYA Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948 itu, ada mempunyai kuasa undang-undang di dalam negeri-negeri Persekutuan yang tersebut itu:

DAN BAHAWA SANYA pada masa sekarang ada berbagai Perjanjian berhubung dengan perkara Kerajaan Negeri-Negeri Yang Maha Mulia itu di antara Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan tiap-tia seorang Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja negeri yang tersebut (berkenaan dengan Negeri Sembilan di antara Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar serta Undang dan Orang Besar):

DAN BAHAWA SANYA oleh kerana telah dipersembahkan kapada Yang Maha Mulia Baginda Queen dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta Undang dan Orang Besar Negeri Sembilan iaitu hendaklah dibuat perjanjian yang baharu untuk keamanan dan ketenteraman negeri serta kesempurnaan kerajaan bagi negeri-negeri yang di dalam Persekutuan yang tersebut itu, maka Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen serta Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta Undang dan Orang Besar telah bersetuju bahawa Persekutuan yang tersebut itu hendaklah menjadi sebuah negara yang merdeka di dalam lengkongan Commonwealth dengan Pelembagaan seperti yang diadakan kemudian daripadanya:

DAN BAHAWA SANYA oleh kerana menurut Undang-Undang Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, 1957, maka telah diluluskan oleh Parliament Kerajaan United Kingdom untuk membuat Perjanjian seperti yang terkandung di dalam ini:

YANG DEMIKIAN MAKA ADALAH SEKARANG dipersetujui dan dimasyhurkan iaitu:

1. Ada pun Perjanjian ini bolehlah disebutkan namanya Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1957.

2. Dalam Perjanjian ini dikecualikan jika ayat berkehendak difahamkan lain:

"Persekutuan yang ada sekarang" ertinya ialah Persekutuan Tanah Melayu yang tertubuh mengikut Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948;

"Undang-Undang Persekutuan" ertinya undang-undang yang telah disahkan oleh Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan yang ada sekarang;

"Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja" ertinya seorang yang masa ini menjadi Sultan bagi Negeri Johor dan Jajahan Takluknya; Sultan bagi Negeri Pahang, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Sultan bagi Negeri Selangor, Sultan bagi Negeri Kedah, Raja bagi Negeri Pedis, Sultan bagi Negeri Kelantan, Sultan bagi Negeri Terengganu dan Sultan bagi Negeri Perak;

"Negeri-Negeri Melayu" ertinya Negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Pedis, Kelantan, Terengganu dan Perak, dan segala Jajahan Takluk, pulau-pulau dan tempat yang sebelum pada tiga puluh satu haribulan Ogos, tahun seribu sembilan ratus lima puluh tujuh adalah diperintahkan sebagai sebahagian daripadanya, dan laut-laut yang di dalam kawasan daerahnya;

"Negeri Selat Pulau Pinang" dan "Negeri Selat Melaka" termasuk semua pulau-pulau dan tempat yang sebelum pada tiga puluh satu haribulan Ogos, tahun seribu sembilan ratus lima puluh tujuh adalah diperintahkan sebagai sebahagian daripada Negeri-Negeri Selat itu dan laut-laut yang di dalam kawasan daerahnya;

"Negeri Selat" ertinya Negeri Selat Pulau Pinang dan Negeri Selat Melaka.

3. Maka mulai daripada tiga puloh satu haribulan Ogos tahun seribu sembilan ratus lima puluh tujuh, Negeri-Negeri Melayu dan Negeri-Negeri Selat itu hendaklah dijadikan sebuah Persekutuan Negeri-Negeri yang baharu yang disebut namanya Persekutuan Tanah Melayu atau dalam bahasa Inggerisnya disebut, "Federation of Malaya" menurut Pelembagaan Persekutuan seperti yang disebutkan di dalam Jadual Yang Pertama Perjanjian ini, dan dengan demikian maka Negeri-Negeri Selat yang tersebut tamatlah daripada menjadi sebahagian daripada Jajahan Takluk Yang Maha Mulia Baginda Queen dan Duli Yang Maha Mulia itu tidak lagi berhak menjalankan apa-apa jua kedaulatannya di atas negeri-negeri yang tersebut itu, dan hendaklah tamat kuatkuasa dan hak Yang Maha Mulia Baginda Queen atau Parliament United Kingdom di dalam atau pun yang berkenaan dengan Negeri-Negeri Selat atau Negeri-Negeri Melayu atau Persekutuan Tanah Melayu seluruhnya.

4. Maka Perlembagaan yang tersebut di dalam Jadual Yang Kedua dan Yang Ketiga dalam Perjanjian itu hendaklah menjadi Perlembagaan Pulau Pinang dan Melaka menurut satu-satunya itu sebagai Negeri-Negeri di dalam Persekutuan yang baharu.

5. Dengan tertakluk kapada syarat-syarat Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu dan kepada Jadual Yang Keempat Perjanjian ini, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948 dan semuanya perjanjian-perjanjaian yang lain yang ada berjalan di antara Yang Maha Mulia Baginda Queen dengan pihak-pihak yang lain dalam Perjanjian ini atau pun barang siapa jua sebelum daripada tiga puluh satu haribulan Ogos yang tersebut hendaklah dimansukhkan daripada tarikh yang tersebut itu tetapi tiadalah apa-apa di dalam Fasal ini akan mengenai apa-apa jua syarat di dalam apa-apa jua perjanjian maka dengan syarat-syarat itu telah dibuat apa-apa pembahagian jajahan.

6. Syarat-syarat Perjanjian ini adalah tertakluk kepada lulusnya Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu dengan mengadakan Undang-Undang Persekutuan dan dengan mengadakan pula suatu Undang-Undang di dalam tiap-tiap Negeri Melayu.

7. Perjanjian ini hendaklah dizahirkan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, tetapi bagi maksud mengambil pengertian Perjanjian ini hendaklah diikut naskhah dalam bahasa Inggeris sahaja.

SA-BAGAI MENYAKSlKAN PERJANJIAN ini Sir Donald Charles MacGillivray, G.C.M.G., M.B.E., bagi pihak Yang Maha Mulia Baginda Queen menurunkan tandatangan dan chapnya; dan Yang Maha Mulia Raja-Raja bagi Negeri Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Perak dan Undang dan Orang Besar bagi Negeri Sembilan dan yangbTeramat Mulia TUNKU ISMAIL ibni SULTAN IBRAHIM, D.K., S.P.M.J., S.P.M.K., K.B.E., C.M.G., Pemangku Raja Johor bagi pihak Yang Maha Mulia Sultan Bagi Negeri Johor dan Jajahan Takluknya menurunkan tandatangan dan chapnya.

DIPERBUAT pada 5 haribulan Ogos, 1957, bersamaan dengan 9 haribulan Muharram, 1377.

DITANDATANGANI DAN DICHAPKAN OLEH SIR DONALD CHARLES MACGILLIVRAY, G.C.M.G., M.B.E., bagi pihak YANG MAHA MULIA Baginda Queen di hadapan:

Cap mohor

...........................
(Tandatangan)

Meterai

............................
(Tandatangan)

DITANDATANGANI DAN DICHAPKAN OLEH YANG TERAMAT MULIA Tunku ISMAIL ibni Sultan IBRAHIM, D.K., S.P.M.J., S.P.M.K., K.B.E., C.M.G., Pemangku Raja Johor, bagi pihak YANG MAHA MULIA SULTAN bagi Negeri JOHOR serta Jajahan Takluknya di hadapan:

Cap mohor

...............................
(Tandatangan)

DITANDATANGANI DAN DICHAPKAN OLEH YANG MAHA MULIA SULTAN bagi Negeri PAHANG di hadapan:

Cap mohor

................................
(Tandatangan)

Meterai

................................
(Tandatangan)

DITANDATANGANI DAN DICHAPKAN OLEH YANG MAHA MULIA YANG DIPERTUAN BESAR NEGERI SEMBILAN di hadapan:

Cap mohor

......................................
(Tandatangan)

DITANDATANGANI DAN DICHAPKAN OLEH Dato' KIana Petra MOHAMED KASSIM bin Dato' Nika Haji Abdul Rashid, Undang bagi Luak SUNGAI UJONG di hadapan:

Cap mohor

.................................
(tandatangan)

DITANDATANGANI DAN DICHAPKAN OLEH Dato' Mendika Mentri Akhirzaman SHAH MARUDDIN bin Abdul Rahman Undang bagi Luak JELEBU di hadapan:

Cap mohor

..............................
(Tandatangan)

DITANDATANGANI DAN DICHAPKAN OLEH Dato' Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan ABDUL MANAP bin Tolok, Undang bagi Luak JOHOL di hadapan:

...........................
(Tandatangan)

DITANDATANGANI DAN DICHAPKAN OLEH Dato' Lela Maharaja RAn IPAP bin Abdullah, Undang bagi Luak REMBAU di hadapan:

Cap Mohor

...............................
(Tandatangan)

DITANDATANGANI DAN DICHAPKAN OLEH Tengku SYED IDRUS bin Tengku Syed Mohammad, Tengku Besar TAMPIN di hadapan:

Cap mohor

.................................
(Tandatangan)

DITANDATANGANI DAN DICHAPKAN OLEH YANG MAHA MULIA SULTAN bagi Negeri SELANGOR di hadapan:

Cap mohor

...............................
(Tandatangan)

DITANDATANGANI DAN DICHAPKAN OLEH YANG MAHA MULIA SULTAN bagi Negeri KEDAH di hadapan:

Chap mohor

.................................
(Tandatangan)

DITANDATANGANI DAN DICHAPKAN OLEH YANG MAHA MULIA RAJA bagi Negeri PERLIS di hadapan:

Cap mohor

..............................
(Tandatangan)

DITANDATANGANI DAN DICHAPKAN OLEH YANG MAHA MULIA SULTAN bagi Negeri KELANTAN di hadapan:

Cap Mohor

..................................
(Tandatangan)

DITANDATANGANI DAN DICHAPKAN OLEH YANG MAHA MULIA SULTAN bagi Negeri TERENGGANU di hadapan:

Cap Mohor

..................................
(Tandatangan)

DITANDATANGANI DAN DICHAPKAN OLEH YANG MAHA MULIA SULTAN bagi Negeri PERAK di hadapan:

Cap Mohor

..................................
(Tandatangan)”[7]


Maka, benarlah buat kedua kalinya dengan apa yang dinyatakan oleh Profesor Datuk Dr Zainal Kling, bahawa hanya tiga buah negeri sahaja yang menjadi Tanah Jajahan (Singapura, Melaka, dan Pulau Pinang). Jika pembaca meneliti pada bahagian yang digariskan (Fasal ketiga), maka jelaslah bahawa dari segi faktanya, Tanah Melayu TIDAK pernah terjajah. Dokumen-dokumen seperti inilah yang menjadi sumber premier kepada sejarah yang membolehkan kita meletakkan kepercayaan terhadap sesuatu fakta sejarah yang berkait rapat dengan hal ehwal yang bersangkutan dengan dokumen yang dirujuk. Muhammad Mahir Hamadah menukilkan kata, “tiada sejarah tanpa dokumen” dan pada satu tahap, kata-kata itu memang benar.Ya, dari segi faktanya memang Tanah Melayu tidak pernah terjajah.
Walau bagaimanapun, perspektif sejarah itu sukar untuk diubah. Apakah dengan hanya meneliti tiap-tiap patah perkataan pada setiap lembaran naskah-naskah perjanjian yang pelbagai itu sehingga tidak menemukan perkataan ‘dijajah’, maka dengan begitu mudah membuat konklusi bahawa Tanah Melayu ‘tidak pernah terjajah’? Apakah tidak timbul di sini British hanya berdiplomasi mencatatkan perkataan 'melindungi' bukan 'menjajah' untuk mengaburi mata pemerintah tempatan pada masa itu dan menunjukkan kepada generasi masa kini bahawa kehadiran mereka pada masa itu adalah atas sebab ‘jemputan’ daripada pemerintah tempatan dan ikhlas membantu mentadbir dan memerintah negera? Umum mengetahui bahawa bangsa hidung mancung berkulit cerah itu bijak berdiplomasi dan pandai memanipulasi. Hebatnya bangsa ini apabila mereka ini lahir di bumi beriklim sejuk tetapi mampu untuk hidup menetap dibumi beriklim khatulistiwa sambil memakai kot dan bertali leher. Bukti yang menjustifikasikan kehebatan mereka adalah sehingga dapat ‘diterima’ baik oleh para pembesar dan pemerintah tempatan selain menjadi tempat bergantung harap dan meminta nasihat serta pertolongan.
Bangsa ‘berkot dan bertali leher dalam cuaca panas terik’ ini terkenal dengan keunggulan tamadun British dan kebudayaanya. Mereka kononnya bertanggungjawab menyelamatkan rakyat tempatan yang dikongkong oleh sebuah rejim yang bersikap depotisme. Dalam sejarah tanah Melayu, rakyat tempatan dianggap sebagai “beban orang putih” atau “white men’s burden”.[8] Pandangan Frederick Weld (Gabenor Negeri-Negeri Selat 1888) paling jelas menunjukkan sikap imperialis British. Buktinya, Weld pernah menyatakan bahawa bangsa Melayu tidak dikurniakan dengan kebolehan dan pengalaman berkerajaan sendiri. Ketidakupayaan ini, menurut Weld, adalah sesuatu yang berakar umbi dalam bangsa, agama, sejarah dan kebudayaannya. Begitu hinanya bangsa Melayu pada pandangan Weld ini. Kononnya, negeri-negeri Melayu yang berada di ambang kehancuran harus dilindungi daripada kezaliman raja-raja untuk memulihkan keamanan dan kebajikan rakyat tempatan. Tersirat dalam pemikiran pemerintahan British ialah kuasa pemerintahannya harus berasaskan maruah bukan kekuatan tentera atau paksaan semata-mata; dengan mengekalkan maruah yang mulia, bangsa Melayu akan menyerap unsur-unsur kebaikan kerajaan British dan rakyat British dihormati.[9]
Tidak dapat dinafikan bahawa pada waktu itu, berlaku perpecahan politik, huru-hara, dan kezaliman raja-raja di beberapa buah ‘negara’ Melayu. Hal ini telah dijadikan topeng kepada British untuk menyembunyikan kepentingan politik dan ekonomi yang sebenar. Taktik-taktik penipuan, manipulasi gerakan tentera, diplomasi, pemujukan dan rayuan biasanya dilakukan. Maka, bertepatan seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Khaldun, ‘sejarah baginya bukan hanya laporan dan keterangan tentang peristiwa semata-mata, tetapi juga mengajak untuk mencari faktor penyebab lahirnya sesuatu peristiwa.’Tidak cukup sekadar mencari istilah ‘dijajah’ dalam surat-surat perjanjian tersebut sekiranya tidak dikaji dan difahami faktor yang membawa kepada perjanjian tersebut. Hal ini kerana, tidak semestinya matlamat sesuatu perjanjian itu secara jelas disebut atau dicatat dalam sesuatu perjanjian. Perjanjian-perjanjian dengan raja-raja Melayu yang menyerahkan kuasa kepada pihak British lazimnya digembleng bagi mengesahkan tindakan British di sisi undang-undang. Maka, gambaran yang timbul ialah British sepertinya tidak menakluki negeri-negeri Melayu atau menggunakan paksaan tetapi sebaliknya ‘dijemput’ memasuki Tanah Melayu untuk memberikan perlindungan kepada sultan-sultan daripada ancaman musuh luar. Dalam erti kata lain, perjanjian-perjanjian ini sebenarnya merupakan cara untuk menutup sesuatu situasi de facto yang sultan-sultan tiada pilihan kecuali menjemput masuk kuasa Britiah.[10]
‘Kebijakkan’ bangsa ‘‘berkot dan bertali leher dalam cuaca panas terik’ dalam iklim tropika ini mengingatkan penulis kepada kisah Robinhood, sambil membantu sambil merompak, sambil menyelam minum air. Itulah analogi yang hendak disampaikan. Untuk menampak lebih bersifat ilmiah, penulis membawa pembaca kepada suatu teori yang cukup popular pada zaman Victoria di Great-Britain iaitu Darwinisme. Pada tahun-tahun ketika Darwin mengemukakan teorinya, Great Britain berada pada kedudukan untuk membentuk empayar jajahan nombor satu di dunia. Semua sumber-sumber semula jadi di kawasan menganjur daripada India ke Amerika Latin telah dieksploitasi oleh Empayar British. "Orang-orang kulit putih" telah merompak seluruh dunia untuk kepentingan mereka sendiri. Tetapi, sudah tentu, dengan dimulakan dengan Great Britain, tidak satu pun negara penjajah yang mahu dikenali sebagai "perompak" dan untuk terus dikenali di dalam lipatan sejarah seperti itu. Kerana itu, mereka mencari-cari penjelasan untuk membuktikan bahawa apa yang mereka lakukan adalah betul. Seperti penjelasan yang menggambarkan orang-orang yang telah dijajah ini sebagai "manusia primitif" atau "makhluk seperti haiwan".
            Golongan yang menjadikan falsafah Darwinisme ini  sebagai ideologi dikenali sebagai evolusionis. semua cerita evolusionis digambarkan sebagai fakta saintifik. Namun hakikatnya ialah kesemua dakwaan mereka tidak lebih daripada sekadar cerita dongeng belaka. Evolusionis berusaha untuk menjadikan senario rekaan mereka sebagai bukti saintifik. Tetapi keseluruhan cerita rekaan mereka adalah pembohongan yang langsung tiada nilai saintifik dan tidak akan pernah menyumbang bukti kepada dakwaan evolusionis sendiri. Satu kisah yang sering ditemui dalam penulisan evolusionis ialah berkenaan makhluk yang kononnya separa beruk bertukar menjadi manusia, dan secara beransur-ansur berubah daripada orang primitif kepada entiti sosial. Walaupun tanpa adanya sebarang sokongan bukti saintifik, binaan semula manusia yang kononnya primitif ini - yang dianggap berjalan bongkok, mendengus, berjalan bersama 'keluarga gua' masing-masing atau memburu dengan alatan batuan yang kasar - merupakan bahagian yang terkenal senario palsu ini. Binaan semula sedemikian menyebabkan provokasi untuk membayang dan membenarkannya. Dengan cara ini, evolusionis berusaha meyakinkan orang ramai bukan kepada asas fakta-fakta yang kukuh, tetapi lebih kepada spekulasi yang fantastik kerana semuanya hanya berdasarkan prejudis dan praandaian mereka sendiri dan bukan berpaut pada fakta-fakta saintifik. Walaupun sedar akan kesalahan dakwaannya, evolusionis tidak ragu-ragu untuk meneruskan kesemua cerita rekaan mereka dalam penulisan profesional, apatah lagi mempersembahkannya sebagai kebenaran saintifik. Senario sebegini yang kerap disuarakan oleh evolusionis membentuk andaian untuk teori evolusi dan bukan bukti saintifik kerana tiada bukti yang menunjukkan bahawa manusia berketurunan beruk.
            Persoalannya, apakah perkaitan antara isu perbincangan ini dengan teori Darwinisme ini? Terdapat beberapa perkaitan yang perlu diberikan perhatian dan penelitian. Hal ini kerana, perkaitan tersebut akan menemui faktor yang membawa kepada perjanjian-perjanjian seperti mana yang dinyatakan di atas dan cuba merungkaikan agenda tersembunyi pihak British yang berselindung di sebalik ‘penaung’ atau ‘pelindung’ di Tanah Melayu. Seperti yang telah dinyatakan pada perenggan sebelumnya; “tidak satu pun negara penjajah yang mahu dikenali sebagai "perompak" dan untuk terus dikenali di dalam lipatan sejarah seperti itu. Kerana itu, mereka mencari-cari penjelasan untuk membuktikan bahawa apa yang mereka lakukan adalah betul.” Pada 1870-an, wujud perkembangan baharu yang berlaku di Eropah memperlihatkan Britian, Jerman dan Perancis berlumba-lumba memperoleh tanah jajahan di Afrika dan Asia. Perkembangan ini dikenali sebagai imperialism didorong oleh gerakan kapitalisme berikutan Revolusi Perindustrian di Eropah. Hal ini berikutan Eropah pada masa itu sedang dilanda sindrom falsafah Darwinisme-materialis khususnya di Great-Britain apabila Ratu Victoria Great Britain juga menerima Darwinisme sebagai "ideologi asas" bagi tujuan penjajahan.
            Kenyataan ini disokong oleh Rupert Emerson yang menulis tentang penjajahan British di Tanah Melayu menyatakan bahawa pencorobohan British adalah sebahagian daripada kemaraan semangat imperialism baharu.[11]Jadi Britian harus menjajah negara-negara yang mundur demi kepentingan kemajuan dan kesedaran serta keamanan dan pembangunan jajahan takhluk. Tugas dan peranan sesebuah kerajaan penjajah harus tertumpu pada usaha memperkenalkan sistem pemerintahan Barat, undang-undang yang berasaskan prinsip keadilan dan hak manusia serta perkembangan ekonomi kapitalis bagi kepentingan dan kebaikan rakyat tempatan. Seperti yang telah dinayatakn sebelumnya bahawa dalam sejarah tanah Melayu, rakyat tempatan dianggap sebagai “beban orang putih” atau “white men’s burden”, yang sangat bertepatan dengan aliran falsafah Darwinisme. Jika hanya bersandarkan kepada istilah  ‘negeri lindungan’ (protectorates or protected states) seperti yang dinyatakan oleh Prof Datuk Dr Zainal Kling, sememangnya tidak ditemukan unsur-unsur penjajahan. Walau bagaimanapun, sekiranya melihat dari sudut konsep dan teori, maka teori ‘perlindungan’ dilihat sebagai asas pemerintahan secara tidak langsung iaitu kuasa penjajahan akan menggunakan institusi kerajaan yang sedia ada wujud untuk memerintah negeri-negeri itu. Dalam proses penguatkuasaan konsep pemerintahan secara tidak langsung, institusi politik tempatan dipelihara dan pembaharuan dipastikan tidak menjejaskan institusi tersebut serta kewibawaan sultan di sisi orang Melayu. Sekilas pandang konsep perlindungan kelihatan nampak begitu mulia tetapi tujuan pelaksanaannya adalah sebaliknya.
Kaedah diplomasi melalui perjanjian bersama pemerintah tempatan ini dibuat akibat daripada pengalaman pahit British menghadapi penentangan daripada rakyat India dan juga orang Melayu di Naning disebabkan oleh dasar paksaan dan kekerasan yang dilakukan sebelumnya. Pada tahun 1857, Dahagi telah meletus di India. Penduduk India telah berasa tidak puas hati terhadap pemerintahan British sejak awal abad ke-19. Perasaan tidak puas hati semakin memuncak apabila Lord William Bentick menjalankan beberapa pembaharuan politik, sosial dan kebudayaan. Walaupun pembaharuan itu berdasarkan teori “kebajikan penduduk India”, tetapi pembaharuan tersebut telah melanggar amalan dan adat serta menyinggung hati orang India. Menjelang tahun 1858, dahagi telah ditumpaskan. Kebangkitan rakyat ini telah memberi tamparan hebat kepada penjajah British yang bukan sahaja menanggung kos perbelanjaan yang besar, tetapi juga terpaksa menanggung malu akibat maruah yang tercemar. supaya lebih berhati-hati dalam melaksanakan dasar dan objektif mereka.
            Malangnya bangsa ‘berkot dan bertali leher dalam cuaca panas terik’ ini tidak mahu mengambil pengajaran, apabila British sebagai sebuah kuasa besar dunia pernah dikalahkan oleh pahlawan-pahlawan Melayu dalam perang Naning pertama pada tahun 1831. Kekalahan itu amat mengaibkan Inggeris kerana mereka adalah kuasa besar boleh dikalahkan oleh Naning sebuah daerah kecil. Pada mulanya mereka yakin Naning boleh ditewaskan dalam masa sehari sahaja. Tetapi mereka ditentang hebat oleh pahlawan-pahlawan Melayu yang hanya bersenjatakan parang panjang, lembing, anak panah dan pelbagai senjata tradisional yang lain. Setelah berlaku pertempuran selama 18 hari maka tentera British terpaksa berundur setelah ramai tenteranya yang terbunuh dan cedera. Kekalahan itu amat mengaibkan Inggeris sehingga mereka terpaksa menghantar ramai tentera termasuk meriam dalam usaha menundukkan Naning. Pada April 1832, askar-askar Inggeris yang diketuai oleh Kolenal Herbert dibantu oleh pasukan Rambau yang diketuai oleh Syed Shaaban menyerang Naning bagi kali kedua. Sekali lagi berlaku pertempuran yang sengit antara kedua belah pihak. Dan setelah berlaku pertempuran selama hampir dua bulan akhirnya Dol Said dan para pengikutnya terpaksa berundur dari Naning. Namun kemenangan itu tidak mengembirakan British kerana mereka terpaksa menangung kerugian 100,000 pound dan kehilangan ramai askar bagi menakluk sebuah daerah kecil.[12]
            Menambahkan lagi kecelaruan apabila Majlis Profesor Negara (MPN) dalam kenyataannya berkata, zaman pentadbiran British yang disamakan dengan "penjajahan British" sebenarnya tidak sahih dan tidak wajar digunakan. Bagaimanapun, menurut majlis itu "kesan pentadbiran British itu merupakan satu bentuk penjajahan".[13] Apakah yang sebenarnya hendak disampaikan oleh MPN? Alasan yang diberikan MPN adalah kerana; "British diberi kuasa untuk 'mentadbir' dari segi pengurusan am dan kewangan serta eksploitasi khususnya sumber alam.”[14] Persoalannya, apakah sesuai isitilah ‘diberi kuasa’ itu digunakan dalam keadaan tersebut? Atau sebenarnmya istilah yang lebih sesuai adalah ‘merampas kuasa’ untuk ‘mentadbir’? Sungguhpun pegawai British sering kali menyatakan pengekalan institusi-institusi politik dan kewibawaan sultan, tetapi akhirnya proses penyusunan semula struktur politik Melayu telah menjadikan sultan dan pembesar Melayu berperanan sebagai ‘boneka’ sahaja dalam sistem kerajaan baharu. Lebih melucukan apabila pada masa yang sama MPN menyatakan demikian; "Mereka kelihatan melakukan penjajahan walaupun tidak sahih, walaupun hal ehwal Persekutuan Tanah Melayu terletak bawah pentadbiran Pejabat Tanah Jajahan di Britain tetapi kedaulatan Melayu tetap terpelihara," kenyataan itu dipetik.[15] Kedaulatan Melayu yang bagaimana hendak ditunjukkan oleh MPN ini? Apakah dengan pengekalan institusi kesultanan Melayu maka dengan sembrono membuat kenyatan bahawa kedaulatan Melayu tetap terpelihara? Berdaulatkah kita seandainya sultan dan pembesar Melayu dianggap sebagai ‘buah catur’ yang sentiasa diperalatkan bagi memajukan kepentingan pihak imperialis. Raja-raja Melayu dijadikan penonton sahaja, malah langsung diketepikan daripada arus perkembangan politik, manakala rakyat bawahan tertinggal jauh di belakang.
            Raja-raja Melayu hanya akan dipergunakan jika ada kepentingan pihak British. Apabila ada rakyat yang bangkit menentang kezaliman pihak imperialis maka, pada waktu itulah para raja Melayu ini diperkudakan. Itulah nasib yang menimpa Tok Janggut, dibunuh dan mayatnya dihina sehina-hinanya, Dato Maharajalela, Mat Kilau, Dato Bahaman, dan lain-lain mudah dipatahkan kerana nama sultan digunakan. Memetik kenyataan Profesor Dr Abdul Aziz Bari (pakar perlembangaan), beliau menyatakan bahawa; “British mahu menunjukkan kepada orang Melayu bahawa negeri mereka kekal di tangan Melayu dengan mengekalkan sultan. Tetapi pemerintahan dan pentadbiran sebenar dijalankan oleh British melalui residen mereka”[16] Merujuk kepada Perjanjian Pangkor 1874 juga, buat pertama kali konsep dan amalan perlindungan telah diperakukan atau dirasmikan yang mensyaratkan bahawa pemerintah Melayu di Perak perlu menerima seorang Residen British yang walaupun tidak akan mempunyai kuasa eksekutif, tetapi nasihatnya wajib diminta dan dituruti dalam semua hal kecuali yang menyentuh agama dan adat istiadat orang Melayu. Berdaulatkah kita seandainya terpaksa akur dan tunduk atas ‘nasihat’ orang lain? Sudahlah diwajibkan meminta nasihat, diwajibkan pula menuruti nasihat tersebut.
            Kenyataan MPN yang menyatakan bahawa;  “sejak Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874, tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa negeri akan dijajah, sebaliknya hanya dilindungi atau dinaungi,” nampaknya bertentangan dengan sejarahwan lainnya dan penulis sendiri. Hal ini kerana, dari segi penzamanan, sejarahwan biasanya menyatakan bahawa Perjanjian Pangkor 1874 merupakan satu titik pemisahan antara zaman sebelum penjajahan dengan zaman penjajahan. Hal ini kerana, selepas tahuan 1874 kita dapat melihat dengan lebih jelas dasar dan objektif British ini. Antara kesan yang paling jelas adalah  kehilangan kuasa dan kedaulatan raja-raja Melayu dan pengenalan satu sistem pentadbiran baharu yang menggantikan sistem feudal Melayu. MPN turut mengeluarkan kenyataan bahawa; “British hanya berperanan sebagai penaung dengan mengiktiraf Institusi dan Majlis Raja-Raja Melayu (DURBAR) sebagai pemerintah yang sah”. Penulis ingin menjelaskan, Ya, British sememangnya mengiktiraf Majlis Raja-raja Melayu (DURBAR), malah peranan sultan turut diperkukuhkan TETAPI hanya sebagai lambang kedaulatan sesebuah negeri, kedudukannya dilindungi dan sebarang penentangan oleh pembesar Melayu dianggap sebagai penderhakaan dan wajib ditumpaskan atas nama raja. Sungguhpun diangkat menjadi ketua majlis negeri dan undang-undang diluluskan dan dikuatkuasakan atas namanya , tetapi hakikatnya, sultan memerintah mengikut telunjuk Residen yang ‘kemutlakan’ kuasanya terselindung disebalik ‘tabir’ penasihat. Walaupun kuasa dan peranan sultan hilang, namun kemuliaan, kemegahan dan istiadat raja tetap dipelihara seolah-olah mereka masih berkuasa. Jelas dapat dilihat pada masa itu, semasa perhimpunan raja-raja atau dikenali sebagai DURBAR yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang walaupun upacara itu tidak menambah sebarang kuasa politik kepada sultan.[17] Berdaulatkah begitu? Apakah dengan menyatakan bahawa British mengiktiraf DURBAR maka dengan mudahnya merumuskan bahawa Tanah Melayu tidak pernah terjajah?
            Kedangkalan kenyataan MPN itu disanggah oleh sejarahwan apabila penjajahan British atas nama ‘perlindungan’ di Tanah Melayu sebenarnya bermula dengan Perjanjian Pangkor 1874. Satu demi satu negara-negara Melayu itu jatuh ke tangan British bermula perluasan kuasanya ke Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan akhirnya Pahang membawa kepada pembentukan entity politik yang dikenali sebagai Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada 1896.  Pada tahun 1909, Siam menyerahkan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu kepada British melalui Perjanjian Bangkok. Sunggupun jika kita lihat, bahawa terdapat kesedaran raja-raja Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu tentang keadaan politik mereka yang semakin terancam misalnya; penguatkuasaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor pada 1895 dan pindaan pada tahun 1908, pengisytiharan Undang-undang Tubuh Kerajaan Terengganu pada 1911, dan pembentukan Majlis Negeri Kedah pada 1905 yang berjaya melambatkan proses campur tangan British ke negeri berkenaan, tetapi akhirnya apabila menjelang tahun 1914, buat pertama kalinya seluruh Tanah Melayu telah diletakkan di bawah penguasaan British atau lebih tetap disebut penjajahan Britih!
            Penulis tertarik dengan suatu artikel dalam sebuah blog untuk direnungkan bersama. Biarpun penyampaiannya secara bersahaja, tetapi bagi penulis ia melambangkan suatu sindiran paling tajam kepada pihak-pihak yang secara sembrono mentafsir sejarah bangsa dan tanah air tercinta ini. Sama-sama kita hayati dan selamat beramal;
“Tanah Melayu tidak pernah dijajah oleh British. Bukan Profesor Zainal Kling sahaja yang bersetuju dengan hakikat ini. Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya berbangga kerana bangsa kita dan Tanah Melayu tidak pernah dijajah. Kita cuma dijadikan rakan dan diberikan Tuan oleh British untuk mengusahakan Tanah Melayu beberapa ratus tahun lamanya. Kita harus bangga dan merasa hebat dengan pencapaian kita, tidak pernah dijajah British. Hebatnya Tanah Melayu, apabila rakyatnya berganding bahu dengan kerajaan British membangunkan negeri-negeri di Tanah Melayu. Jangan sekali-kali kita meragui sejarah kehebatan melayu. Mari renung kembali bagaimana kedudukan orang melayu ketika zaman British datang melawat suatu ketika dahulu. Segala cukai yang dibayar kepada pentadbiran British itu adalah hadiah dan sedekah, setelah berasa sangat terhutang budi kepada British yang sanggup datang dari jauh ke Tanah Melayu demi untuk hidup bersama dengan orang melayu. Segala tanah ladang dan estet yang diusahakan oleh British dengan memasukkan orang-orang India itu adalah sa-buah usahasama yang sangat menguntungkan.

Beruntungnya Tanah Melayu, tidak pernah dijajah British malah menjadi rakan kongsi 'melangsaikan' segala hasil hutan, segala hasil ladang, segala hasil padi dan apa jua usahasama dikongsi sama-rata. Segala kekayaan hasil perniagaan dalam negeri di Tanah Melayu dibahagikan sama-rata, separuh untuk Queen of England, separuh lagi untuk raja-raja melayu. Untuk rakyat pula, akan mendapat suku daripada separuh punya separuh dibahagi dengan separuh. Sungguh mewah hidup kita ketika era 'perkongsian' dengan British. Setiap kali tiba musim perayaan, rakyat akan berpesta bersama-sama dengan pegawai British dan tenteranya. Ia termasuklah tentera gurkha dan Fiji. Kita saling ziarah menziarahi, rumah terbuka di sini dan sana. Tentera British yang ada dalam negara adalah untuk menjaga keselamatan dan keamanan negara dari dicerobohi penjajah lain. Mereka tidak jajah, cuma jaga sahaja. Orang melayu menjadi kerani dalam pejabat pemerintahan British, bergaji besar berumah bungalow. Maksudnya berumah bungalow itu ialah, orang melayu menjadi orang gaji, menjadi drebar, tukang kebun dan tukang pencacai najis kepada pegawai British di kebanyakkan rumah-rumah bungalow. Negeri Tanah Melayu ini melayu yang punya, tetapi hebat kerana boleh dikongsi bersama British hinggakan kita memanggil mereka sebagai Tuan, sambil berdiri tegak dan menunduk hormat. Baiknya orang melayu kita, kaya dengan budi bahasa.

Ketika Jepun menyerang Tanah Melayu, tentera British bermati-matian mempertahankan Tanah Melayu. Mereka sanggup mempertaruhkan nyawa demi Tanah Melayu sehingga amat payah bagi pihak Jepun untuk menjajah, opss maksudnya menjadi rakan kongsi di Tanah Melayu. Orang melayu ketika itu juga membantah kemasukkan Jepun walaupun adanya slogan asia untuk asia, kerana orang melayu di zaman itu rupa wajahnya tidak seperti orang asia tetapi pan-europian-asia.  Ketika Jepun tewas di Tanah Melayu, orang-orang melayu begitu merindui kehadiran British dan tenteranya lalu mengalu-alukan kedatangan semula British ke Tanah Melayu. Orang melayu dan Tanah Melayu tanpa kehadiran British bagaikan polong tak bertuan. Panggilan Tuan ke atas pegawai British begitu mengasyikkan sekali. Oleh kerana baiknya rakyat Tanah Melayu terhadap British sepanjang lawatan mereka selama beberapa ratus, maka British menghadiahkan kemerdekaan kepada Tanah Melayu melalui sekumpulan elit melayu bangsawan yang taraf kehidupannya hampir setaraf dengan British. Biasanya negara yang diberi kemerdekaan adalah negara yang telah dijajah, tetapi Tanah Melayu cukup istimewa di mata British. Kemerdekaan yang diberi kepada Tanah Melayu adalah di atas dasar 'you help me, I help you'. 

Tanah Melayu akhirnya merdeka dan menjadi satu-satunya negara yang merdeka tanpa penjajahan. Lebih istimewa, Tanah Melayu yang akhirnya membentuk negara Malaysia telah dijemput menyertai negara-negara Komanwel. Mengapa istimewa? Kerana semua negara yang menyertai negara-negara Komanwel adalah merupakan negara bekas jajahan British, kecuali Malaysia. Sebagai tanda terima kasih Malaysia ke atas British kerana meluangkan masa yang begitu lama berkhidmat di negara kita, maka segala undang-undang dan perlembagaan negara dibangunkan mengikut acuan British termasuklah menjaga semua kepentingan-kepentingan British. Ia berlanjutan hingga ke hari ini apabila masih banyak harta dan kekayaan dalam negara ini milik British dan bangsa asing. Sehubungan itu, janganlah kita menyorokkan fakta penting betapa negara kita tidak pernah dijajah oleh British, malah diberi layanan yang cukup istimewa. Setiap rakyat yang hidup ketika British menumpang-tadbir negeri Tanah Melayu akan berasakan kehidupan ketika itu sangat baik biarpun berbanding hari ini kerana ketika itu kita mempunyai Tuan. Melayu yang punya Tuan adalah melayu hebat. Sesungguhnya fakta sejarah menunjukkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah (oleh British). Ini mesti dibaiki dari sekarang oleh semua pihak sama ada pelajar, guru, ahli politik atau pentafsir politik. Malaysia Boleh!”[18]

          
          









[1] Merujuk kepada portal berita Malaysiakini yang bertajuk Zainal Kling: Malaya Tak Pernah Terjajah,  9 September 2011.
[2] Merujuk kepada kenyataan , “Contohnya, rumah ibu saya didafarkan seramai lapan orang dengan kaum Cina dan India sedangkan ibu saya tinggal seorang diri dan saya tidak mempunyai adik beradik kaum lain,” Berita Utama Nasional portal berita KeadilanDaily, bertajuk  SPR Letak ‘Hantu’ Di Rumah Ibu Saya – Azmin 29 Mac 2011.

[3] J.C. Bottoms, “Some Malay Historical Sources: A Bibliographic & Note.” Dalam Soedjatmoko (ed), An Introduction to Indonesian Historiography, New York, 1965.
[4] Teks diambil dari Maxwell & Gibson 1924: 28-30.

[5] Diambil daripada Perjanjian dan Dokumen Lama Malaysia 1791-1965. Kuala Lumpur: ITNM. Teks diambil dari Arkib Negara Malaysia, P.126. Lihat juga Bahan-bahan Pilihan Pameran Arkib Warisan Negara 1892: 44.
[6] Diambil daripada Perjanjian dan Dokumen Lama Malaysia 1791-1965. 2008. Kuala Lumpur: ITNM. Teks diambil dari Arkib Negara Malaysia, P.112. 2 Lihat Lampiran I (ed.).


[7] Teks asal diambil dari Arkib Negara Malaysia, P.73.
[8] Leong Yee Fong, Zaman Penjajahan dan Munculnya Susunan Politik Baharu di Tanah Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka, 2007, hlm. 244.
[9] R. Emerson, Malaysia: A Study in Direct and Indirect Rule, Kuala Lumpur: Universiti of Malaya Press, 1964, hlm. 470-471.
[10] Leong Yee Fong, Zaman Penjajahan dan Munculnya Susunan Politik Baharu di Tanah Melayu, 2007, hlm.246.
[11] Zainul Ariffin Abu Bakar, Pemberontakan Naning 1831-32, Latihan Ilmiah (tidak diterbitkan), 1992, Universiti  Sains Malaysia.
[12] Zainul Ariffin Abu Bakar, Pemberontakan Naning 1831-32, Latihan Ilmiah (tidak diterbitkan), 1992, Universiti  Sains Malaysia
[13] Merujuk kepada portal berita Malaysiakini yang bertajuk Zainal Kling: Malaya Tak Pernah Terjajah,  9 September 2011.
[14] Ibid.
[15] Ibid.
[16] Merujuk kepada portal berita Malaysiakini yang bertajuk Profesor Keliru, Kemudian Kelirukan Orang-Prof Dr Abdul Aziz Bari, 10 September 2011.
[17] Leong Yee Fong, Zaman Penjajahan dan Munculnya Susunan Politik Baharu di Tanah Melayu, 2007, hlm.257
[18] Merujuk kepada; http://www.kedahlanie.info/2011/09/setuju-kenyataan-zainal-kling-tanah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Template by: Abdul Munir
Website: 99computercity